Anakku Lahir 37 Minggu Secara Induce Kerana Kecil Dari Usia Kandungan

Assalamualaikum. Hari ini saya ingin menceritakan pengalaman melahirkan anak sulong yang hidup. Ya, ia sepatutnya anak yang kedua kerana saya pernah keguguran kandungan pertama ketika usia kandungan mencecah 17 minggu. Kandungan disahkan tiada degupan jantung dan gugur sendiri di Hospitan Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada 13 Disember 2011. Namun begitu, ia tidak memutuskan semangat saya untuk terus berdoa agar dikurniakan zuriat. Alhamdulillah beberapa bulan selepas keguguran saya disahkan hamil dan saya ingin kongsikan kisah anak saya yang lahir seawal 37 minggu secara induce kerana kecil dari usia kandungan.

syahmi comel

Muhammad Syahmi Isyraf

Pada awal kehamilan, alahan agak teruk sehingga mencecah usia kandungan 4 bulan. Selain alahan, perasaan risau sering menghantui kerana keguguran kandungan pertama menjadikan saya sangat berhati-hati dalam segala hal. Mungkin perkara ini yang banyak mempengaruhi dan menjejaskan kesihatan saya. Memandangakan saya merupakan pembawa thallesimia, Hb sentiasa rendah dan setiap minggu jururawat akan memberitahu kesan Hb low terhadap ibu dan bayi. Saya menyedari kesan-kesan yang mungkin saya bakal alami tetapi hanya doa tidak putus-putus agar dipermudahkan segala urusan dan selamat melahirkan.

Cabut Gigi Semasa Hamil?

gambar-animasi-sakit-gigi-lucu

Semasa kandungan mencecah 5 bulan,tiba-tiba gigi saya pecah dan ia amat menyakitkan sehingga tidak dapat tidur. Hanya dengan cabut gigi sahaja mampu selesaikan masalah ini dan banyak blog yang saya baca untuk memastikan cabut gigi semasa hamil adalah selamat. Hal ini kerana saya sendiri takut untuk mencabut gigi semasa hamil kerana risaukan kesan terhadap kandungan. Akhirnya saya tekad untuk mencabut gigi kerana tidak tertahan sakitnya. Selepas mencabut, fuhhhhhhhh. Lega sangat lega.

Doktor memberitahu bahawa mencabut gigi semasa trimester kedua adalah selamat. Tetapi perasaan lega saya belum berakhir kerana semasa kandungan mencecah 36 minggu, sebatang lagi gigi pecah. Allahuakbar, sakitnya tak tertanggung. Mengalir air mata menahan  sakit dengan membawa kandungan yang sarat. Ini trimester ketiga dan saya sangat risaukan berlaku contraction awal kesan dari ubat bius jika mencabut gigi. Kebetulan saya berada di kampung meraikan majlis perkahwinan adik, hati tekad untuk cabut juga gigi walau apa pun terjadi. Pulang ke Putrajaya, esoknya saya terus ke klinik untuk cabut gigi. Alhamdulillah, pada usia kandungan 37 minggu gigi selamat dicabut tanpa sebarang masalah dan komplikasi.

Lahir 37 Minggu Secara Induce Kerana Kecil Dari Usia Kandungan

Usia kandungan mencecah 37 minggu, saya masih bersantai-santai sebab ini merupakan kelahiran pertama. Terasa masih jauh lagi dari tarikh EDD yang ditetapkan. Sehari MC kerana mencabut gigi, saya pergi bersiar-siar bersama suami dan kakak ipar kerana kebetulan mencabut gigi pada hari lahir kakak ipar (18 september 2012). Esoknya saya pergi ke pejabat seperti biasa dan menghitung hari untuk melahirkan.

20 September 2012 (Khamis)

Hati mula tidak keruan kerana dari malam kandungan kurang memberi respon dan kurang bergerak. Kiraan pada carta gerakan bayi dalam kandungan pun sukar dicatat kerana bayi hampir tidak bergerak! Balik kerja saya terus bersiap ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan kerana bimbang sebarang risiko yang tidak diingini. Setelah diperiksa, didapati saiz bayi kurang dari usia kandungan. Berat bayi dianggarkan hanya 2.2kg sahaja dan bayi sudah tidak aktif. Doktor memberitahu bahawa saya perlu bersalin seawal esok (Jumaat) bagi mengelak sebarang komplikasi. Malam itu juga saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

berat bayi

Kadar berat bayi dalam kandungan

21 September 2012 (Jumaat)

Saya dihantar masuk ke wad setelah menjalani pemeriksaan pada pukul 4 pagi. Sampai di wad seperti biasa saya menukar uniform ibu hamil, sedikit pemeriksaan oleh doktor bertugas dan pukul 6 pagi kelihatan ibu-ibu yang lain sudah mula bangun untuk mandi dan saya juga tidak ketinggalan menunaikan solat subuh. Jam 7 pagi saya di bawa untuk scan dan melihat perkembangan bayi dan berat bayi dijangka hanya 2.1kg. Terasa begitu mengantuk kerana masih tidak dapat tidur lebih 24 jam tetapi masih tidak dapat melelapkan mata kerana doktor memberi appointment jam 8 pagi untuk induce.

Kelihatan jam pukul 8 pagi, doktor masih belum datang dah saya semakin resah kerana terlalu mengantuk. Jam 11 pagi baru saya di bawa ke bilik pemeriksaan untuk induce. Selepas induce saya terus ke katil dan tidur. Langsung tidak menghiraukan suasana wad yang menempatkan dalam 20 orang ibu yang menanti untuk bersalin dan yang baru melahirkan.

Jam 2 petang selepas solat, saya berehat sambil melayan contraction yang baru bermula. Alhamdulillah proses untuk bersalin secara induce berjalan lancar. Memandangkan 21 September tu hari Jumaat.jam 5 petang baru suami datang untuk jadi tukang sorak di labor room nanti. Jam 6.30 petang saya dihantar ke labor room. Debaran kian terasa dengan contraction kian mengganas. Jam 7.10 malam saya mula meneran dengan beberapa kali cubaan. Jam 7.15 minit baru suami masuk, mujur sempat sebelum bayi keluar. Semasa suami berada di sisi, bagaikan mendapat semangat luar biasa untuk meneran. Mungkin itulah sebab mengapa suami perlu ada semasa isteri bersalin. Alhamdulillah jam 7.20 malam, dengan sedikit episiotomi saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.08kg selepas meneran 10 minit tetapi terdapat sedikit masalah dengan uri. Uri tidak dapat dikeluarkan secara normal kerana tali pusat terlalu halus dan risau putus jika dipaksa keluar. Sekiranya putus, risiko untuk ceaserian adalah tinggi.

fresh

Fresh From oven

Satu demi satu kekalutan selepas melahirkan anak sulong. 20 minit menanti baru uri dapat dikeluarkan dan selepas sejam baru saya dapat memeluk bayi saya. Bayi terus dibawa keluar selepas dilahirkan kerana keadaan bayi yang sangat kecil. Selepas diperiksa, doktor datang memberitahu bahawa bayi saya mengalami sedikit masalah dan disyaki hanya mempunyai sebelah sahaja buah pinggang berdasarkan pemerhatian doktor terhadap tali pusat yang tidak cukup saluran (arteri). Disebabkan itu, saya dan bayi ditahan 3 hari di wad.

Selepas melahirkan, saya dipindahkan ke wad kelas pertama dan bermulalah breastfeeding journey saya. Nak tahu lebih lanjut mengenai perjalanan yang bagi saya agak sukar semasa menyusukan anak pertama, KLIK SINI. Sukar bagi saya kerana terasa begitu cetek ilmu penyusuan ketika itu. Oleh itu sangat-sangat penting ilmu penyusuan bagi ibu yang bakal melahirkan bagi memastikan kita cukup bersedia dan mengelakkan tekanan atau stress.

balik

Yaeyyy!! Dah keluar wad..

Setelah bayi berusia sebulan, kami membawa bayi ke Paedatrik HKL untuk pemeriksaan lanjut terhadap buah pinggang yang disyaki hanya ada sebelah sahaja. Sebulan saya membuang perasaan yang mengatakan anak saya tidak sempurna. Tawakal dan berdoa siang dan malam ditambah dengan pelbagai masalah semasa menyusukan bayi. Berdebar di hati hanya Allah sahaja yang tahu. Sepanjang sebulan berpantang, kelihatan bayi saya membesar seperti biasa dan tiada sebarang masalah lain. Alhamdulillah semasa menjalani ultrasound, kelihatan kedua-dua buah pinggang anak saya sempurna. Menangis dalam hati tanda syukur. Ya Allah, semoga anakku menjadi anak yang soleh, penyejuk mata dan hati kami.

muhammad syahmi isyraf

Syahmi Isyraf 3 bulan

Walaupun hari seawal 37 minggu secara induce hanya dengan berat 2.08kg dan disyaki hanya mempunyai 1 buah pinggang, Muhammad Syahmi Isyraf membesar seperti kanak-kanak biasa. Alhamdulillah, syukur atas kurniaanMu. Kini Muhammad Syahmi Isyraf sudah menjangkau 3 tahun tetapi detik-detik melahirkanmu tidak mungkin mama lupakan.

Shaklee Independen Distributor

Kawasan COD : Putrajaya – Bangi – Desa Pinggiran Putra – Puchong – Kajang – Serdang

Call / sms / WhatsApp :  +6017-6258658

Email : maziahjamaludin@gmail.com

Fanpage : Healthy Vita Garden

Facebook : Maziah Jamaludin

Klik Sini Untuk Order

5 comments for “Anakku Lahir 37 Minggu Secara Induce Kerana Kecil Dari Usia Kandungan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.